Pelabur kini bersiap sedia untuk pengeluaran data indeks harga pengeluar (PPI) Amerika Syarikat pada sesi New York akan datang, menyaksikan US dolar kekal didagangkan kukuh berbanding pesaing utamanya.
Berbanding yen, dolar greenback mencapai paras ketinggian baharu pada 146.38 buat pertama kali sejak Ogos 1998.
Pemain pasaran sedang menantikan kemungkinan untuk campur tangan baharu dari Jepun untuk membendung kejatuhan mendadak mata wang ninja itu.
Sementara itu, ketidaktentuan dalam dagangan pound terus dilihat ekoran isu pembelian bon oleh Bank of England (BOE).
Gabenor Andrew Bailey pada mulanya mengatakan program pembelian bon kecemasannya akan berakhir pada Jumaat ini, namun laporan terbaru dari Financial Times menunjukkan BOE memberi isyarat kepada bank-bank bahawa ia boleh melanjutkan program tersebut.
Ini membuatkan mata wang pound kekal didagangkan lemah pada sekitar paras terendah dua minggu berbanding US dolar.
Dalam pada itu, data keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK yang diterbitkan pada sesi Eropah menunjukkan ekonomi menguncup pada bulan Ogos, meningkatkan risiko kemelesetan pada suku ketiga.
Selain itu, kebanyakan mata wang utama lain termasuk euro, dolar Aussie dan New Zealand didagangkan mendatar setelah mencatat kerugian pada sesi sebelum ini.
Pelabur dilihat lebih berhati-hati menjelang terbitan data inflasi pengeluar AS yang dijangka akan menunjukkan peningkatan pada bulan September.
Tidak dilupakan juga, laporan minit mesyuarat FOMC akan diterbitkan pada awal pagi nanti yang bakal diteliti oleh pelabur untuk mendapatkan petunjuk seterusnya tentang dasar monetari Federal Reserve.