Pergerakan perlahan dalam pasaran menghiasi dagangan awal minggu, di mana dolar Amerika mula berundur dari paras tertinggi 20 tahun yang dicapainya minggu lalu dengan mencatatkan kerugian sederhana.
Ketika penulisan, indeks dolar diperdagangkan sedikit susut pada 104.10 berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Kemerosotan US dolar telah membuka peluang buat pesaing utamanya yang lain untuk sedikit meningkat. Namun, pergerakan yang dipaparkan mata wang utama adalah terhad menyebabkan mereka kekal berlegar di sekitar paras terendah.
Sentimen pasaran pada dasarnya masih lagi suram, lebih-lebih lagi data ekonomi China yang diterbitkan pada Isnin menambahkan lagi kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global.
Data jualan runcit dan aktiviti perkilangan China jatuh mendadak pada bulan April akibat penutupan Covid-19 yang ketat telah mengekang pengguna untuk berbelanja sementara pekerja pula di rumah.
Secara keseluruhannya, arah tuju pasaran mata wang masih lagi tidak jelas yang mungkin disebabkan pelabur meenantikan penerbitan data jualan runcit Amerika Syarikat dan ucapan Pengerusi Federal Reserve, Jerome Powell pada Selasa.
Turut menjadi tumpuan adalah data inflasi UK pada Rabu yang akan menentukan tindakan Bank Pusat England (BOE) seterusnya. Harga pengguna di Britain dijangka melonjak lebih tinggi mencecah 9.1% pada April berbanding 7.0% yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Pada waktu penulisan, mata wang pound didagangkan lebih tinggi tetapi kekal di sekitar paras terendah sejak Jun 2020, manakala euro juga sedikit meningkat namun masih lemah di tahap terendah 5 tahun berbanding USD.