Pasaran sesi Asia menyaksikan dolar Aussie dan New Zealand meningkat lebih tinggi selepas didorong oleh peningkatan harga komoditi, sementara dagangan US dolar pula terus terbatas.
Dolar Aussie melonjak ke paras tertinggi empat setengah bulan berbanding US dolar pada awal dagangan sesi, sementara dolar New Zealand pula menguat di paras ketinggian tiga bulan.
Ini disokong oleh pasaran saham global yang positif dan peningkatan harga komoditi ketika para pelabur mengetepikan kebimbangan mengenai kesan ekonomi akibat perang Ukraine-Rusia.
Sementara pergerakan US dolar pula terus terbantut selepas mencatatkan penyusutan pada sesi sebelum ini. Kenyataan Pengerusi Federal Reserve Jerome Powell pada hari Isnin hanya memberi sokongan sementara buat dolar greenback.
Walaupun begitu, raja mata wang itu tetap didagangkan menguat berbanding mata wang yen yang sensitif dengan pengukuhan hasil bon AS 10 tahun dan risiko dalam pasaran yang mereda.
Mata wang pound menokok ke paras ketinggian dua minggu berbanding USD dan euro menjelang penerbitan data inflasi UK dan ucapan Gabenor Bank Pusat England (BOE) Andrew Bailey pada sesi Eropah hari ini.
Pelabur juga akan memberi tumpuan kepada penerbitan belanjawan tahunan UK yang akan mendedahkan jangkaan perbelanjaan dan tahap pendapatan, tahap pinjaman serta pelaburan yang dirancang oleh Menteri Kewangan Rishi Sunak.