Dagangan raja mata wang US dolar kembali merosot pada sesi Asia selepas memperoleh sokongan pada sesi sebelum ini untuk melonjak tinggi.
Sesi New York menyaksikan pendarahan berterusan dalam pasaran Wall Street dengan tumpuan masih pada China dan potensi kesan pembukaan semula sepenuhnya.
Di satu pihak, berita pembukaan tersebut dilihat sebagai positif dengan harapan ia akan membantu pemulihan ekonomi gergasi kedua dunia itu.
Namun di sisi berbeza, ada yang khuatir perubahan itu akan mencetuskan tekanan harga dan meletakkan inflasi melambung tinggi.
Malah, terdapat juga kebimbangan bahawa jumlah kes jangkitan yang semakin meninggi di negara itu akan merencatkan pemulihan.
Secara keseluruhannya dapat dilihat bahawa sentimen agak bercampur-campur setelah pasaran menghadam khabar dari China itu.
Pasaran juga berwaspada menjelang penutupan dagangan untuk akhir tahun 2022, menyaksikan pergerakan mata wang yang agak terhad.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan pada sekitar harga 104.30, susut sedikit dari paras tertinggi 104.55 yang dicapainya pada sesi terdahulu.
Dolar New Zealand mengakhiri dagangan hari Rabu sebagai mata wang yang paling kukuh, dengan dolar Aussie mengikuti di belakang tetapi kebanyakan keuntungannya hilang pada sesi New York.
Sementara mata wang euro dan pound juga susut berikutan kebangkitan US dolar, tetapi berusaha untuk naik semula pada sesi Asia hari ini.
Ijmalnya, pasaran dijangka akan terus memaparkan pergerakan yang tidak menentu menuju pengakhiran dagangan tahun ini.