Alamak, sebelum ni Omicron sekarang IHU!
Kemunculan varian baharu virus SARS-CoV 2, IHU, yang menggemparkan dunia telah memberi sinar kepada industri sarung tangan getah tempatan.
Pada sesi dagangan pagi tadi saham Hartalega naik 24 sen atau 4.35% pada RM5.76, Top Glove lonjak 9 sen atau 3.86% pada RM2.42, Kossan tambah 8 sen atau 4.28% pada RM1.95 sementara Supermax macu 4 sen atau 2.78% pada RM1.48.
Harga saham pembuatan sarung tangan getah dijangka naik kerana ia merupakan antara peralatan penting bagi membendung penyebaran Covid-19.
Indeks Health Care melonjak 36.84 mata atau 1.63% pada 2,290.57.
Kemunculan IHU yang pertama kali dikesan di Perancis bulan lalu telah menambah kebimbangan kepada kebanyakan negara akan sekatan perjalanan sehingga menjadi topik hangat dunia.
Setakat ini varian IHU dipercayai dikaitkan dengan perjalanan ke negara Afrika, Cameroon dan mempunyai 46 mutasi yang menambah kebimbangan bahawa vaksin sedia ada mungkin tidak berkesan melawannya.