Pertumbuhan eksport China jatuh buat kali pertama dalam dua tahun pada Oktober berikutan permintaan semakin lemah di tengah-tengah risiko kemelesetan global yang meningkat.
Eksport dalam dolar jatuh 0.3% pada bulan lalu, jauh di bawah peningkatan 4.5% yang diunjurkan pasaran dan turun daripada kenaikan 5.7% pada September.
Selain itu, import juga jatuh dengan penurunan 0.7% iaitu kemerosotan pertama sejak Ogos 2022, manakala imbangan dagangan menokok sedikit kepada $85.1 bilion pada Oktober.
Kemerosotan dalam data terbaru ini menambah tekanan ke atas ekonomi China yang telah bergelut akibat kejatuhan dalam pasaran hartanah, gangguan berterusan daripada penutupan Covid-19 dan perbelanjaan pengguna melemah.
Eksport yang berdaya tahan telah menjadi pendorong utama kepada pemulihan Beijing dalam tempoh dua tahun lalu ekoran pembelian antarabangsa yang kukuh.
Namun, ia mula berubah apabila permintaan kembali merosot apabila perang Rusia dan Ukraine meningkatkan inflasi serta ketidaktentuan global.
Penganalisis berpendapat catatan yang buruk ini berkemungkinan mencerminkan permintaan luar yang lemah dan gangguan bekalan akibat Covid-19, malah ia dijangka akan berterusan melemah dalam beberapa bulan akan datang.
Dalam pada itu, pengetatan dasar agresif oleh ekonomi utama turut meningkatkan kebimbangan kemelesetan global yang akan menjejaskan lagi permintaan untuk produk buatan China.
Federal Reserve AS minggu lalu meningkatkan kadar faedah penanda aras untuk kali keenam tahun ini, mendorong US dolar lebih kuat berbanding kebanyakan mata wang utama.