Logam kuning emas didagangkan sedikit berubah pada sekitar paras tertinggi satu minggu, ketika pasaran menantikan pemangkin baharu untuk arah tuju seterusnya.
Pada sesi Asia, spot emas bergerak mendatar pada $1,818 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diniagakan pada $1,827 per auns.
Kekuatan yang dipamerkan dalam dagangan emas masih lagi disokong oleh US dolar yang lemah setelah terkesan dengan perubahan dasar pasaran bon oleh Bank of Japan (BOJ) pada awal minggu.
Pelabur kini memberi tumpuan kepada terbitan data bacaan akhir keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat untuk suku ketiga dan tuntutan pengangguran pada sesi New York akan datang.
Ekonomi AS dijangka berkembang lebih baik dengan pertumbuhan sebanyak 2.9% pada suku ketiga, sejajar dengan bacaan awal yang dicatatkan sebelum ini.
Pada masa yang sama, pelabur emas tetap berwaspada dengan pendirian Federal Reserve (Fed) yang dilihat masih hawkish untuk meneruskan kenaikan kadar faedahnya pada tahun hadapan.