“Pening kepala macam ni, saham Tesla yang jatuh tapi kenapa DOGE pun ikut sekali pula”
Jutawan Elon Musk yang juga merupakan penyokong tegar terbesar Dogecoin (DOGE) sekali lagi menjadi penyebab harga memecoin itu merosot apabila saham syarikat beliau Tesla Inc (TSLA) junam secara berterusan.
Jika diperhatikan, harga saham TSLA susut hingga ke $109.09 berbanding paras tertingginya sebelum ini pada $200 yang mencatatkan kerugian sekitar 5.97%.
Situasi berikut telah memberi impak kepada DOGE yang mendorong harganya tergelincir pada $0.07275 dalam tempoh 24 jam lalu ketika pembuat kereta Tesla bertindak memberhentikan pengeluarannya di kilang Shanghai.
Tindakan tersebut dilaksanakan susulan jangkitan Covid di China melihatkan lonjakan drastik pada setiap hari.
Sementara itu, pemegang terbesar wallet DOGE dilaporkan telah memindah 3.8 bilion memecoin tersebut yang bernilai $280.6 juta secara tiba-tiba.
Pemindahan itu berlaku semasa Musk mengeluarkan poll (tinjauan) di Twitter miliknya mengenai adakah beliau perlu meneruskan tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter ataupun tidak.
Dalam pada itu, sesetengah mata wang kripto setakat ini masih mengekalkan momentum mendatar dengan Bitcoin (BTC) berada di zon harga $16,684, tetapi berbeza pula untuk situasi Terra Classic (LUNC) yang terus menyaksikan peningkatan.