Pengukuhan berterusan US dolar telah mendorong yen ke paras terendah baharu 24 tahun, sekali gus mengangkat jangkaan untuk lebih banyak campur tangan oleh Jepun bagi menyokong mata wang itu.
Sesi Asia menyaksikan mata wang yen didagangkan pada 146.30, paras paling lemah sejak krisis kewangan Asia pada 1998.
Ia juga melepasi paras harga yang telah mendorong kerajaan Jepun untuk campur tangan dalam pasaran mata wang pada bulan lepas.
Pelabur kini menantikan langkah baru yang akan diambil oleh Jepun memandangkan sebelum ini Menteri Kewangan Shunichi Suzuki telah menegaskan untuk bertindak sekiranya kejatuhan yen terus berlaku.
Yen kini berada tidak jauh daripada paras 147.67, untuk menyentuh titik terendahnya sejak 1990.
Mata wang ninja itu juga berada di bawah tekanan yang meningkat berikutan US dolar yang kukuh dengan jangkaan lebih banyak kenaikan kadar faedah akan dilakukan pada masa hadapan.
Ini pastinya akan meluaskan lagi jurang perbezaan dasar monetari antara Federal Reserve (Fed) dan Bank of Japan (BOJ) yang mengamalkan dasar yang sangat longgar.