Sesi pasaran Eropah menyaksikan US dolar didagangkan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang utama, sementara dagangan yen jatuh ke paras terendah terbaharu 24 tahun.
Pertama kali sejak tahun 1998, mata wang yen diperdagangkan lemah pada sekitar harga 141.80 berbanding US dolar.
Kedegilan Bank of Japan (BOJ) untuk mengekalkan dasar monetari yang sangat longgar terus meluaskan perbezaannya dengan bank-bank pusat utama lain yang giat melaksanakan pengetatan lebih agresif.
Beralih kepada US dolar, raja mata wang itu sedikit merosot berbanding mata wang euro dan pound walaupun kebimbangan terhadap kemelesetan dan harga gas yang tinggi membataskan kedua-dua mata wang itu.
Euro kembali didagangkan stabil setelah menyentuh ke paras terendah terbaharu 20 tahun susulan tindakan Rusia yang masih menutup saluran paip gas Nord Stream 1.
Ia pada mulanya ditutup untuk penyelenggaraan yang kemudiannya didakwa disebabkan oleh kebocoran minyak. Namun pada Isnin, Kremlin mengatakan ia tidak akan disambung semula selagi sekatan dikenakan Barat tidak ditarik balik.
Sementara itu, mata wang pound mendapat sedikit sokongan daripada kemenangan Liz Truss sebagai perdana menteri UK, di mana langkah rangsangan oleh pentadbiran baharu dilihat akan merangsang Bank of England (BOE) untuk terus menaikkan kadar faedah.
Mengikuti perkembangan mata wang Asia, dolar Aussie dan New Zealand tergelincir lebih rendah walaupun selepas Reserve Bank of Australia (RBA) menaikkan kadar faedahnya pada mesyuarat terbarunya.
Tumpuan pelabur kini disasarkan kepada penerbitan data PMI perkhidmatan tinjauan ISM Amerika Syarikat pada sesi New York yang dijangka mencatat pertumbuhan sedikit perlahan pada bulan Ogos.