Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang bakal menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Iklim Perniagaan Jerman Tinjauan ifo (Isnin 4.00 Petang): Menilai kesihatan semasa bagi ekonomi terbesar di Eropah, tinjauan terhadap perniagaan di Jerman boleh menjadi petunjuk tahap kesihatan semasa dan gambaran terhadap perbelanjaan dan aktiviti ekonomi di masa hadapan.
Data Keyakinan Pengguna AS (Selasa 10.00 Malam): Bakal memacu pergerakan US dolar di awal minggu, bacaan data tinjauan isi rumah di Amerika ini diramalkan catat angka yang menurun untuk bulan September.
Data Inflasi Australia (Rabu 9.30 Pagi): Unjuran peningkatan pada kadar inflasi Australia pada Ogos dilihat akan menyusuli laporan pekerjaan positif yang diterbitkan sebelum ini. Ini berkemungkinan boleh mengubah dasar monetari bank pusat semasa selepas RBA mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada mesyuarat terbaru.
Data KDNK AS (Khamis 8.30 Malam): Setelah bacaan pertumbuhan ekonomi untuk suku kedua Amerika mengejutkan pasaran dengan menguncup, bacaan akhir yang akan diterbitkan pada minggu ini pula dijangka untuk kembali catat peningkatan semula. Ini akan semakin menyokong langkah untuk pengetatan dasar oleh Federal Reserve (Fed).
Data KDNK Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Pasaran akan meneliti bacaan pertumbuhan ekonomi bulanan Kanada yang diterbitkan untuk bulan Julai lalu. Ramalan agak suram dengan menjangkakan penguncupan, namun sedikit baik berbanding bulan sebelumnya.
Data Indeks Harga PCE AS (Jumaat 8.30 Malam): Bakal mempengaruhi mata wang US dolar pada dagangan di sesi terakhir minggu ini, komponen data inflasi ini turut diberikan tumpuan oleh Fed dalam penetapan dasar monetari mereka. Namun untuk bacaan terbaru bagi bulan Ogos, dijangka tiada perubahan pada angka seperti sebelum ini.