Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Mesyuarat Polisi RBA (Selasa 12.30 Tengahari): Setelah kadar faedah tidak dinaikkan sebelum ini, mesyuarat terbaru bank pusat Australia dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras 4.10%. Pengetatan dasar dilihat sukar untuk diteruskan RBA berikutan sektor buruh dan inflasi catat bacaan terbaru yang merosot.
Data KDNK Australia (Rabu 9.30 Pagi): Pertumbuhan ekonomi Australia untuk suku kedua 2023 diunjurkan sedikit meningkat berbanding suku sebelumnya. Data ini turut menjadi indikator bagi bank pusat dalam penetapan dasar monetarinya.
Mesyuarat Polisi BOC (Rabu 10.00 Malam): Bank pusat Kanada dijangka untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 5.00%. Dasar semasa mahu dikekalkan bank pusat sehingga inflasi berjaya diturunkan ke paras sasaran.
PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (Rabu 10.00 Malam): Sektor perkhidmatan di Amerika dijangka masih kekal di paras yang stabil. Namun, perubahan ketara pada angka di bulan Ogos boleh memberi kesan kepada pergerakan mata wang.
Data Tuntutan Faedah Pengangguran AS (Khamis 8.30 Malam): Pasaran akan meneliti data mingguan ini untuk memerhatikan perubahan pada angka tuntutan faedah dan memberi gambaran terhadap kesihatan semasa sektor buruh di Amerika.
Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Pertambahan pekerjaan untuk bulan Ogos di Kanada diramalkan sekitar 20,000 setelah ekonomi kehilangan 6,400 pada bacaan sebelumnya. Sementara, kadar pengangguran dijangka meningkat daripada 5.5% kepada 5.6%.