Buat julung kalinya, ada tawaran istimewa bagi semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu pelancaran Kempen Jom Bayar PTPTN sepanjang bulan ini.
Agensi itu menawarkan diskaun bayaran balik sebanyak 15% dan penstrukturan semula pinjaman buat peminjam yang tertunggak bayaran pendahuluan minimum RM300 yang merupakan sebahagian daripada kempen Hari Penghargaan Pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata Cabutan Jom Bayar PTPTN juga akan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM70,000 untuk 140 pemenang. Pelaksanaan promosi akan berlangsung dari 1 hingga 31 Disember.
Katanya lagi, terdapat 10 hadiah menarik untuk dimenangi bagi setiap negeri. Kriteria penyertaan adalah mudah kerana peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman berjumlah minimum RM300 dalam tempoh promosi layak untuk menyertai peluang itu.
Tambahan pula, beliau berkata bahawa peminjam yang menyertai kempen ini dan membuat pembayaran balik pinjaman akan diberi ganjaran cenderahati eksklusif daripada PTPTN.
Hari Penghargaan Pelanggan PTPTN berlangsung serentak di semua pejabat dan cawangan PTPTN negeri di seluruh negara hingga penghujung bulan ini.
Bagi memudahkan urusan pelanggan sepanjang Hari Penghargaan Pelanggan, waktu operasi kaunter di pejabat dan cawangan PTPTN negeri di seluruh negara dilanjutkan dari 8.30 pagi hingga 6.00 petang, termasuk hari Sabtu iaitu dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.