“Pasaran kripto turun untuk naik lagi tinggi atau turun untuk turun lagi?”
Seluruh pasaran mata wang kripto termasuk Bitcoin (BTC) menyaksikan kejatuhan ketara di tengah-tengah ketidaktentuan peraturan sementara keadaan makroekonomi pula didapati semakin lemah.
Selepas berlegar-legar di atas paras $30,000, harga BTC menjunam sebanyak 4.77% pada $28,822 dalam tempoh 24 jam lalu manakala Ethereum (ETH) tergelincir 7.32% pada $1,945 dan Ripple (XRP) susut 6.62% pada $0.49.
Hal ini kerana semasa perbicaraan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) Gary Gensler, beliau enggan menjelaskan sama ada ETH adalah komoditi ataupun sekuriti walaupun ahli jawatankuasa secara berterusan minta penerangan.
Selain itu, SEC yang memfailkan saman terhadap bursa kripto Bittrex pada 17 April atas kesalahan mengendalikan operasi tidak berdaftar telah menjadi sebab kebanyakan pelabur berada dalam ketakutan.
Dalam pada itu, pasaran kripto turut membuat penurunan semula selepas terdapat khabar yang menyebut pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell akan menaikkan kadar faedah untuk turunkan inflasi pada 2%.
Rentetan itu, pasaran kripto mungkin melakukan pergerakan turun naik susulan pelabur berpandangan Fed akan menaikkan kadar faedah semasa mesyuarat Jawatan Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) seterusnya yang dijadualkan pada 3 Mei 2023.
Fed pada masa ini sedang berada dalam kesukaran ekoran bank-bank utama masih menjangkakan AS akan mengalami kemelesetan mendadak pada 2023 seterusnya mungkin memberi kesan negatif terhadap aset berisiko termasuk kripto.