Pelabur dolar Aussie telah dikejutkan dengan penerbitan laporan pekerjaan yang lemah pada bulan April.
Laporan terbaru dari Biro Statistik Australia (ABS) menunjukkan guna tenaga bersih turun sebanyak 4,300 pada bulan lalu setelah mencatatkan peningkatan lebih kukuh sebanyak 61,100 pada Mac.
Angka yang dicatatkan tersebut juga jauh tersasar daripada unjuran pasaran untuk meningkat sebanyak 25,000.
Sementara itu, kadar pengangguran pula meningkat kepada 3.7% daripada paras terendah 50 tahun yang sebelum ini dicatatkan pada 3.5%.
Dolar Aussie junam 0.4% kepada 0.6635 berbanding greenback sebaik sahaja data tersebut dikeluarkan pada sesi Asia.
Susulan daripada bacaan lemah itu, ia secara tidak langsung menggoyahkan keyakinan pelabur untuk melihat Reserve Bank of Australia (RBA) meneruskan kenaikan kadar faedah pada mesyuarat akan datang.
RBA sebelum ini telah mengatakan bahawa keputusan seterusnya akan bergantung kepada perkembangan dalam ekonomi dan inflasi.
Kekuatan pasaran pekerjaan telah menjadi faktor utama keyakinan RBA bahawa Australia boleh mengelakkan kemelesetan.
Bank pusat itu meramalkan pengangguran akan meningkat kepada 4% menjelang akhir tahun ini disebabkan peningkatan kos pinjaman menjejaskan aktiviti ekonomi.