Aktiviti ekonomi China kembali meningkat pada Januari setelah berbulan-bulan mencatatkan penguncupan disebabkan sekatan ketat Covid-19.
Mencerap data yang dikeluarkan Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) pada pagi Selasa, indeks PMI yang mengukur aktiviti pembuatan melantun kepada 50.1 daripada 47.0 pada Disember.
Untuk pengetahuan, angka 50 memisahkan perbezaan antara pengembangan dan penguncupan sesuatu aktiviti. Sekiranya bacaan di atas 50 menunjukkan pengembangan, manakala bawah 50 sebaliknya.
Sementara aktiviti perkhidmatan pula dilaporkan melonjak kepada 54.4 pada bulan ini, meningkat jauh daripada catatan 41.6 sebelumnya.
Kedua–dua indeks sebelum ini telah menunjukkan penguncupan dalam aktiviti sejak September 2022.
Data tersebut merupakan salah satu petunjuk NBS pertama tentang bagaimana ekonomi telah berjaya meningkat sejak dasar sifar Covid China ditamatkan dan semasa perayaan Tahun Baru Cina selama seminggu yang berakhir pada hari Jumaat.
Kabinet China telah berjanji pada hari Sabtu untuk menggalakkan pemulihan dalam penggunaan sebagai pemacu utama kepada ekonomi dan meningkatkan import.
Susulan daripada penerbitan data tersebut, mata wang yuan diniagakan sedikit meningkat berbanding US dolar.