Pasaran saham Amerika Syarikat berakhir lebih rendah pada akhir dagangan sesi New York (Khamis), menyaksikan US30 atau Dow Jones Industrial kekal tersekat di bawah paras 34,000.
Walt Disney Co. adalah antara saham yang meraih untung terbesar dalam Dow Jones, walaupun ia kemudiannya berundur daripada paras tertinggi sesi.
Disney melonjak lebih 5% pada awal sesi dagangan ke paras tertinggi 5 bulan, selepas syarikat itu melaporkan penurunan pelanggan lebih kecil daripada jangkaan pada suku keempat 2022.
Walaupun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Bob Iger turut menyampaikan berita duka, di mana sebanyak 7,000 pekerjaan akan dikurangkan sebagai sebahagian pelan pemotongan kos dan penyusunan semula.
Secara amnya, pasaran tiada pemangkin utama untuk memacu arah pergerakan, tetapi peningkatan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun dilihat menjadi punca kepada kelembapan dagangan saham.
Dow Jones Industrial mengakhiri dagangkan dengan kehilangan 249.1 mata atau 0.75 pada paras 33,699, manakala S&P 500 jatuh 36.3 mata atau 0.9% kepada 4,081.5 dan Nasdaq rugi 120.9 mata atau 1% kepada 11,789.
Nasdaq menanggung kerugian susulan junaman dalam saham Alphabet berikutan kesilapan chatbot Bard baharu yang diperkenalkan Google sekali gus menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap kekuatan syarikat itu untuk bersaing dalam teknologi AI.