Harga emas terus mencatatkan penyusutan ketika pelabur bersiap sedia menantikan keluaran data inflasi Amerika Syarikat.
Sesi Asia menyaksikan logam kuning itu didagangkan suram pada paras terendah satu bulan di sekitar harga $1,855 per auns.
Walaupun US dolar menyusut, tetapi emas tidak berupaya memanfaatkannya untuk mencatatkan peningkatan.
Ini kerana, walaupun inflasi dijangkakan menurun pada bulan Januari berbanding bulan sebelumnya, tetapi ia dijangkakan masih kekal di paras yang agak tinggi.
Trend ini berpotensi memberi sokongan cukup buat Federal Reserve (Fed) untuk mengekalkan pandangannya bahawa kadar faedah perlu naik lebih tinggi.
Pelabur secara meluas menjangkakan harga pengguna AS meningkat 6.2% tahun ke tahun pada bulan lepas, menurun daripada 6.5% pada Disember.
Pada hari Isnin, pembuat dasar Federal Reserve (Fed) Michelle Bowman mengatakan bank pusat itu perlu terus menaikkan kadar faedah untuk menurunkan inflasi kepada sasaran 2%.