“Sekarang harganya tengah jatuh tapi pelabur rasa kripto ni berpotensi naik ke?”
Mata wang kripto Cronos (CRO) akhirnya menembusi $0.08 selepas Perkhidmatan Web Amazon (AWS), platform pengkomputeran awan memeterai perjanjian bersama Cronos Labs, iaitu startup Web3 yang memfokuskan permainan DeFi dan blockchain.
Melalui kerjasama tersebut, AWS berhasrat mengembangkan lagi sektor Web3, penggunaan teknologi blockchain, aplikasi DeFi, GameFi, SocialFi dan Infrastruktur melalui Program Cronos Accelerator.
Walaupun CRO lonjak melebihi 13% susulan berita itu, harga aset digital tersebut kini turun semula pada $0.07 dan nilainya masih hilang 81% susulan kejatuhan secara besar-besaran pada tahun lepas.
Pada sisi berbeza, syarikat gergasi teknologi tersebut bakal melancarkan “Amazon NFT Marketplace” atau “Amazon Digital Marketplace” yang menawarkan 15 koleksi, namun ia akan tersedia untuk pelanggan di Amerika Syarikat (AS) terlebih dahulu.
Pun begitu, kebanyakan individu mungkin sudah kurang berminat dengan NFT susulan jualannya merosot ke paras terendah 16 bulan apabila pasaran kripto mengalami kejatuhan drastik pada tahun lepas.
Ditambah pula dengan keruntuhan Silicon Valley Bank (SVB) pada Mac tahun ini, volum dagangan NFT telah terjun sebanyak 50%.
Secara konteks, penyokong kripto sejak dahulu lagi ingin melihat Amazon menerima aset digital seperti Bitcoin (BTC) sebagai kaedah pembayaran tetapi Andy Jassy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu menegaskan bahawa mereka tidak akan mengaplikasikannya.