“Sebelum target jauh nak tembus sampai $1 juta, BTC kena la capai $30K dulu.”
Susulan krisis perbankan yang berterusan ditambah pula dengan kebimbangan makroekonomi di Amerika Syarikat (AS), pasaran mata wang kripto dijangka bakal melihat peningkatan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).
Hal ini kerana Fed yang berhasrat menurunkan inflasi pada sasaran 2% berkemungkinan menukar pendirian sebaliknya berikutan terdapat banyak bank yang mengalami kejatuhan drastik pada minggu lepas, antaranya Silicon Valley Bank (SVB).
Umum mengetahui Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.4% pada Februari 2023 dan 6% berbanding setahun lalu, namun Indeks Bank Nasdaq KBW serta indeks saham penanda aras sektor perbankan lonjak 27.62% apabila pelabur bimbang tentang krisis itu.
FOMC AS seharusnya menangani dua isu, iaitu menurunkan inflasi sambil menghalang krisis perbankan lebih besar yang boleh memudaratkan industri lain di negara ini.
Rentetan itu, sesetengah penganalisis sungguh percaya Fed akan bertindak lebih dovish dengan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas berbanding 50 mata asas.
Kenaikan kadar faedah 25 mata asas tersebut berupaya memberi lonjakan kepada harga Bitcoin (BTC) untuk menembusi paras $30,000 ataupun lebih lagi, ulas penganalisis itu dengan yakinnya.
Meskipun begitu, kebanyakan kripto mungkin membuat pergerakan mendatar dahulu menjelang mesyuarat FOMC sebelum mendaki, tetapi kini harga BTC berjaya melonjak 4.78% pada paras $28,308 dalam tempoh 24 jam lalu.