“Fulamak naik gila-gila kot, adakah harga BTC nak sasar $45K pula?”
Raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) pada pagi ini sudah memberi kejutan kepada para pelabur apabila harga akhirnya berjaya menggunung tinggi sehingga $40,764 setelah sekian lama berada dalam momentum mendatar.
Kenaikan harga BTC tercetus susulan keyakinan dan keterujaan berterusan terhadap jangkaan kelulusan spot BTC ETF di Amerika Syarikat (AS) ditambah pula Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) baru-baru ini telah mengadakan pertemuan bersama beberapa firma.
Pada Jumaat lepas, harga BTC telah menembusi $39,000 daripada $37,643 apabila Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell membayangkan tidak akan ada sebarang kenaikan kadar faedah pada masa hadapan.
Namun, Powell turut berkata sekarang adalah terlalu awal untuk melakukan kesimpulan bahawa bank pusat AS telah capai pendirian cukup ketat atau bila dasar mungkin berkurangan, tetapi mereka tetap bersedia bagi mengetatkan lagi dasar jika sesuai berbuat demikian.
Selain itu, terdapat lebih 37,000 BTC bernilai $1.4 bilion dikeluarkan daripada bursa kripto sejak 17 November 2023, jadi di sini dapat dilihat aliran keluar tersebut menunjukkan strategi jangka panjang telah berlaku manakala tekanan jualan pula makin berkurangan.
Suka dimaklumkan bahawa laporan Matrixport menjangkakan harga BTC mampu cecah $60,000 sebelum acara halving BTC berlaku pada April 2024.
Menerusi pemerhatian pada carta harga, BTC yang kini sudah berada dalam momentum kuat untuk naik mungkin akan cuba menyasarkan paras seterusnya pada $45,360 tetapi aset digital itu juga mampu melantun semula pada $38,343.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 3.04% pada paras $40,732 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $797 bilion seterusnya mencatatkan kenaikan 8.73% sepanjang minggu lepas.