“Ingatkan dah nak pulih, rupanya jatuh lagi bawah.”
Pasaran mata wang kripto termasuk Bitcoin (BTC) menghadapi ‘pendarahan’ ketara sejurus selepas Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) mengenakan tuntutan mahkamah terhadap bursa aset digital Binance.
Selain BTC menjunam sebanyak 4.91% pada paras $25,679, harga aset digital lain seperti Cardano (ADA), Solana (SOL), Polygon (MATIC) dan Filecoin (FIL) turut terkesan apabila SEC mentakrifkannya sebagai sekuriti tidak berdaftar.
Harga ADA mencatatkan penurunan lebih 7.21% pada $0.34 daripada paras tertingginya $0.38 manakala SOL pula tergelincir 9.20% pada $19.89 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran bernilai $7 bilion.
Sementara MATIC terjun sekitar 6.33% pada paras $0.83 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan volum dagangan $337 juta dan FIL turun 8.86% pada $4.21 dengan modal pasaran $1 bilion daripada $5.02 pada 3 Jun 2023.
Difahamkan bahawa harga BTC dan aset digital lain bakal mengalami kejatuhan lebih drastik dalam tempoh terdekat ini berikutan berita yang agak negatif, tetapi sebahagian besarnya dapat mengekalkan daya tahan baik sejak awal tahun ini.
Walaupun buat masa ini masih tidak jelas sejauh manakah penurunan harga akan berlaku, BTC dalam beberapa minggu lalu telah menunjukkan tanda-tanda untuk menguji semula paras rintangan $30,000 namun kini dihalang disebabkan SEC.
Meskipun begitu, harga BTC berpotensi menyaksikan pertumbuhan jangka panjang susulan Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) didapati bergabung tenaga untuk memperkukuhkan lagi pasaran kripto melalui peraturan.