“Pelabur mesti kecewakan harga BTC tak dapat naik sampai $30K.”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) berjaya melepasi $28,750 apabila Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebanyak 25 masa asas semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Mac 2023.
Pun begitu, Pengerusi Fed Jerome Powell yang berkata bahawa kenaikan faedah tersebut mungkin kali terakhir sambil menambah ia terlalu awal untuk memberitahu bagaimana dasar monetari harus bertindak balas telah menjadi sebab harga BTC tergelincir semula.
Diperjelaskan lebih lanjut, Powell percaya krisis perbankan dalam tempoh dua minggu lepas mungkin akan mengakibatkan keadaan kredit lebih ketat untuk isi rumah dan perniagaan seterusnya menjejaskan hasil ekonomi.
Rentetan itu, harga BTC yang meningkat lebih $28,000 selepas berlegar pada paras $27,867 terus menjunam hingga $26,770 susulan maklum balas Powell terhadap pertanyaan akhbar.
Hal ini kerana beberapa pengulas tetap menyifatkan Powell sebagai hawkish dalam mengutamakan inflasi di atas krisis perbankan.
Namun, terdapat penganalisis meramalkan harga BTC berpotensi melonjak semula hingga ke paras $30,000 susulan ia adalah zon rintangan kukuhnya manakala $25,000 adalah tahap sokongan aset digital tersebut.
Sementara seorang pedagang popular bernama Alex Kruger pula berpandangan BTC mampu meningkat lebih tinggi daripada $30,000 pada minggu ini kerana beliau menganggap kenyataan Powell semasa FOMC bernada dovish.
Setakat penulisan ini, harga BTC menyusut sebanyak 2.74% pada paras $27,305 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $527 bilion manakala Ethereum (ETH) terjun 3.01% pada $1,736 dan Ripple (XRP) pula junam 8.75% pada $0.42.