US dolar kembali meraih kekuatan dengan meningkat lebih tinggi pada sesi Eropah ketika pelabur bersedia untuk satu lagi data sebelum penutup dagangan minggu dan bulan ini.
Terdahulu, dilaporkan bahawa ekonomi AS berkembang lebih perlahan pada suku pertama dengan kadar tahunan 1.1% daripada bacaan sebelumnya 2.6%.
Namun begitu, raja mata wang itu kekal berdaya tahan terhadap pesaingnya susulan laporan tersebut juga menunjukkan butiran bahawa aktiviti pengguna yang sihat dan komponen inflasi yang kukuh pada suku lepas.
Turut menunjukkan kekuatan adalah tuntutan pengangguran awal yang lebih rendah daripada jangkaan sekali gus menggambarkan pasaran pekerjaan AS kekal kukuh.
Pelabur kini mengalihkan tumpuan kepada bacaan data perbelanjaan peribadi pengguna (PCE) untuk bulan Mac pada sesi New York akan datang.
Dalam pada itu, mata wang euro dan pound kembali mencatatkan penyusutan pada awal dagangan sesi Eropah disebabkan kebangkitan semula US dolar.
Selain itu, pelabur juga diperlihatkan dengan penerbitan data ekonomi yang menunjukkan tanda-tanda menyuramkan dalam ekonomi Eropah dan inflasi yang mereda.
Sementara itu, mata wang yen tergelincir lebih rendah selepas Bank of Japan (BOJ) memutuskan untuk kekal dengan kadar faedah tidak berubah pada mesyuarat polisi terbarunya.
Di sisi lain, dolar Aussie merosot semula ke paras lebih rendah, manakala dolar New Zealand kembali memadamkan keuntungan terdahulu untuk diniagakan menyusut berbanding US dolar.
Pelabur kekal berhati-hati terhadap sebarang aktiviti pengambilan untung memandangkan hari ini merupakan hari akhir dagangan untuk minggu ini dan bulan April.