Korea Selatan dan Jepun menjadi mangsa terawal sekatan balas China kerana peraturan ketat Covid-19 yang dikenakan ke atas pelancong dari negara itu.
Dalam langkah yang tidak dijangka, kedutaan China di Seoul mengumumkan penggantungan pengeluaran visa jangka pendek untuk pelawat Korea Selatan mulai hari ini (Selasa).
Kyodo News kemudiannya turut melaporkan bahawa Beijing mengenakan langkah serupa terhadap Jepun, di mana agensi pelancong digesa untuk berhenti mengeluarkan visa baharu di Tokyo.
Sekatan tersebut dikenakan termasuk atas urusan lawatan perniagaan, pelancongan, perubatan, transit dan hal peribadi am.
Menurut kedutaan China ke Seoul, tindakan itu akan dikenakan sehingga sekatan kemasukan yang diskriminasi terhadap Beijing ditarik balik.
Korea Selatan dan Jepun adalah antara negara yang menetapkan peraturan dan syarat untuk ujian Covid bagi pengunjung dari tanah besar itu.
China telah menolak kritikan terhadap datanya sebagai percubaan bermotifkan politik untuk memburuk-burukkan ‘kejayaannya’ dalam menangani wabak itu dan mendakwa sebarang mutasi akan datang mungkin lebih menular tetapi kurang bahaya.