Diplomat tertinggi Amerika Syarikat, Antony Blinken baru sahaja bertemu Presiden China Xi Jinping di Beijing untuk meredakan ketegangan antara dua kuasa besar itu.
Namun, sehari selepas itu, Presiden AS Joe Biden tiba-tiba sahaja menyamakan Xi Jinping dengan ‘diktator’ ketika bercakap dalam satu acara di California.
Katanya, Presiden China itu berang selepas belon pengintipnya yang dikesan terbang di ruang udara AS telah ditembak jatuh oleh tentera beberapa bulan lalu.
“Xi Jinping sangat kecewa apabila AS menembak belon yang dipenuhi dengan peralatan pengintip itu, tapi dia tidak tahu ia ada di sana”, kata Biden.
Beliau menyifatkan bahawa insiden tersebut adalah memalukan bagi diktator kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku.
Bertindak balas kepada kenyataan tersebut, jurucakap kementerian luar China Mao Ning menyelarnya dengan mengatakan ia “sangat tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab”.
Tambahnya lagi, ia adalah provokasi politik terbuka yang melanggar etika diplomatik.
Lawatan Blinken ke Beijing pada hujung minggu adalah kunjungan pertama oleh diplomat AS dalam tempoh hampir lima tahun untuk memulakan semula komunikasi peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.
Xi berkata beberapa kemajuan telah dicapai, manakala Blinken pula menunjukkan kedua-dua pihak terbuka kepada lebih banyak perbincangan.