Pelabur sesi Eropah memulakan dagangan dengan lebih berhati-hati, menyaksikan US dolar kekal didagangkan lebih kukuh di paras ketinggian 5 minggu berbanding pesaing utamanya.
Data inflasi Amerika Syarikat yang bakal dikeluarkan pada Selasa kini menjadi tumpuan pelabur yang meramalkan harga pengguna berkurangan kepada 6.2% pada Januari daripada 6.5% sebelumnya.
Sebelum itu, mari lihat apa yang berlaku pada pasaran mata wang ketika sesi Eropah.
Yen merosot lebih jauh berbanding greenback di tengah-tengah jangkaan bahawa kerajaan Jepun akan mencalonkan Kazuo Ueda secara rasmi pada Selasa (14 Februari) sebagai gabenor Bank of Japan (BOJ).
Selain itu, Dewan Tertinggi Parlimen Jepun turut menjadualkan pendengaran pengesahan mengenai calon untuk gabenor BOJ yang baharu dan dua timbalannya pada 27 Februari.
Sementara itu, Gabenor bank pusat Australia (RBA) Philip Lowe dilaporkan bertemu dengan sekumpulan bank pada Khamis lalu untuk membincangkan kemungkinan kadar faedah mungkin akan meningkat lebih jauh sekitar paras semasa Federal Reserve (Fed) yang kini pada 4.5%-4.75%.
Pun begitu, dolar Aussie tidak menunjukkan pergerakan ketara susulan laporan tersebut, sebaliknya kekal berlegar pada paras terendah.
Melihat pergerakan mata wang Eropah, euro dan pound terus diniagakan lebih rendah ditekan oleh US dolar yang lebih kukuh.
Penting buat mata wang pound minggu ini adalah terbitan data pekerjaan pada Selasa, dan inflasi UK pada hari Rabu.
Dolar Kanada pula kekal stabil pada paras tertinggi satu minggu setelah mendapat sokongan daripada data pekerjaan yang lebih kuat daripada jangkaan pada bulan Januari.