Jenama terkenal Jepun, Daihatsu digantung pengeluaran kilang domestiknya ketika anak syarikatnya iaitu Toyota bergelut dengan skandal ujian keselamatan yang melibatkan 64 model kereta sejak lebih tiga dekad lepas.
Syarikat itu mengaku kesalahannya dalam memalsukan ujian kemalangan ke atas empat model yang dikeluarkan di Thailand dan Malaysia dari 2022 hingga tahun ini. Mereka juga mengakui bahawa kesilapan itu dilakukan sepanjang keseluruhan proses pengeluarannya dengan data palsu ditemui dalam siasatan dalaman sejak tahun 1989.
Jurucakap syarikat itu mengeluarkan kenyataan untuk menghentikan semua pengeluaran di kilangnya sehingga akhir bulan hadapan. Mereka juga akan mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pembekal berdasarkan jumlah perniagaan yang lalu dan berusaha untuk menilai kesan pemberhentian terhadap rangkaian pembekalnya.
Katanya lagi, syarikat itu akan bekerjasama dengan pembekal utamanya bagi menangani kesan daripada skandal itu dan mungkin juga membantu subkontraktor kecil yang tidak menerima pampasan untuk mengakses dana sokongan daripada kementerian industri.
Ia terus menjadi bualan hangat media tempatan kerana operasi Daihatsu banyak tertumpu di Asia Tenggara.
Mereka telah menyambung semula pengeluaran kereta jenama Perodua di dua kilang usaha sama yang dikendalikan dengan pembuat kereta Malaysia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) selepas mendapat kelulusan kawal selia.
Minggu lalu, syarikat yang terpalit skandal itu telah menyambung semula penghantaran daripada anak syarikatnya di Indonesia, PT Astra Daihatsu Motor.