“Haih Musk kalau buat apa-apa mesti macam tak serius.”
Selepas melonjak menembusi paras $0.10, memecoin terbesar Dogecoin (DOGE) yang merupakan aset digital kegemaran jutawan Elon Musk menjunam drastik apabila logonya digugurkan daripada gambar profil Twitter.
Harga DOGE didapati tergelincir sebanyak 6.57% pada paras $0.085 dalam tempoh 24 jam terakhir, tetapi masih mencatatkan keuntungan sekitar 14.17% sepanjang minggu lepas.
Umum mengetahui bahawa DOGE telah canak melebihi 20% apabila gambar profil Twitter berlogo burung biru digantikan dengan memecoin tersebut pada hari Isnin.
Namun, Twitter pada hari ini telah menukar balik profilnya kepada logo burung tersebut dan sehingga kini Musk yang sering bercakap tentang DOGE masih belum memberi penjelasan sebab logo platform media sosial itu berubah.
Secara konteks, tujuan sekumpulan jurutera mencipta DOGE pada tahun 2013 hanyalah sebagai gurauan semata-mata dan secara sengaja ingin mempermainkan Bitcoin (BTC), iaitu aset digital terbesar serta tertua. Namun kemudiannya menjadi fenomena apabila Elon Musk menyatakan sokongannya terhadap kripto itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan Twitter itu yang sentiasa mempromosikan DOGE telah menjadi sebab memecoin tersebut melihat prestasi positif susulan pelabur mula yakin dengan aset digital itu.
Difahamkan, Musk dan pelabur Mark Cuban berkata bahawa DOGE pada masa hadapan boleh digunakan sebagai salah satu penggunaan kripto yang penting untuk pembayaran.