US dolar menyusut pada sesi Asia susulan data yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat lebih lemah daripada jangkaan pada suku pertama.
Bacaan awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat pada kadar tahunan 1.1% pada suku pertama daripada 2.6% pada suku sebelumnya dan meleset daripada jangkaan untuk pertumbuhan 2.0%.
Namun, apa yang lebih menjadi tumpuan pelabur adalah perbelanjaan peribadi pengguna (PCE) teras yang menunjukkan peningkatan lebih tinggi daripada jangkaan pada 4.9% berbanding 4.4% pada suku lepas.
PCE adalah ukuran inflasi utama pilihan Federal Reserve (Fed) untuk membuat keputusan kadar faedah.
Turut menunjukkan kekuatan adalah tuntutan pengangguran awal yang lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 230,000 berbanding 248,000. Ini sekali gus menggambarkan pasaran pekerjaan AS kekal kukuh.
Ini menjadi jawapan kepada reaksi awal US dolar yang melonjak sebaik sahaja data diterbitkan ketika sesi terdahulu, sebelum ia kembali merosot pada sesi Asia hari ini.
Hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula menokok tinggi dengan mencecah paras 3.52%.
Walaupun begitu, pasaran masih mengekalkan jangkaan untuk kenaikan 25 mata asas dalam kadar faedah pada mesyuarat polisi FOMC minggu depan.
Beralih ke pergerakan pasaran lebih luas, yen sedikit susut menjelang mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) hari ini.
Meskipun BOJ dijangka tidak akan melakukan perubahan dalam dasar tetapi ucapan oleh gabenor baharu Kazuo Ueda akan diteliti oleh pasaran.
Sementara itu, mata wang euro dan pound kembali stabil setelah mencatat penyusutan pada sesi sebelumnya.
Mata wang sensitif risiko, dolar Aussie dan New Zealand juga beransur-ansur pulih, menandakan sentimen negatif mulai pudar menyusuli peningkatan dalam pasaran saham global.
Pun begitu, pelabur kekal berhati-hati terhadap sebarang aktiviti pengambilan untung memandangkan hari ini merupakan hari akhir dagangan untuk minggu ini dan bulan April.
Jom intai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.