Harga emas tergelincir lebih jauh ke paras terendah terbaharu 2 bulan pada awal minggu berikutan US dolar dan hasil perbendaharaan AS yang lebih kukuh.
Pada sesi Asia, logam berharga itu diniagakan lemah pada sekitar harga $1,813 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,820 per auns.
Penyusutan dalam nilai emas berterusan selepas data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) Amerika Syarikat yang diterbitkan Jumaat lalu menunjukkan bacaan lebih kukuh daripada jangkaan.
Ini sekali gus membuktikan bahawa tekanan inflasi di ekonomi gergasi dunia itu masih lagi ‘panas’.
Walaupun emas biasanya dianggap sebagai lindung nilai inflasi, tetapi dalam konteks ini logam kuning itu lebih terkesan kepada jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan meneruskan kenaikan kadar faedahnya lebih tinggi.
Pasaran kini menjangkakan kadar dana Fed akan memuncak sehingga 5.395% pada September dan kekal di atas 5% untuk tahun ini, berbanding kadar semasa pada 4.5-4.75%.
Ekoran itu juga, dolar greenback terus mendominasi pasaran dengan diniagakan di paras tertinggi 7 minggu berbanding mata wang utama, dan hasil bon AS 10 tahun pula berada di sekitar paras paling kukuh 3 bulan.
Nak belajar trade forex bersama Team INTRADAY? Jom sertai program mentoring Hustle 24 Hour kami. Klik di sini untuk join.