Harga emas kekal di bawah tekanan pada hari Khamis selepas jatuh ke paras terendah satu bulan di tengah-tengah jangkaan Federal Reserve (Fed) meneruskan kenaikan kadar faedah.
Pada sesi Asia, logam kuning itu didagangkan stabil pada sekitar harga $1,840 per auns daripada kejatuhan paras terendah $1,830 yang disentuhnya sesi terdahulu.
US dolar sedikit menyusut pada awal dagangan hari ini setelah ia melonjak tinggi ekoran penerbitan data jualan runcit Amerika Syarikat yang lebih kukuh daripada jangkaan pada bulan Januari.
Secara dasarnya, dagangan emas masih lagi terkesan dengan bacaan data inflasi AS yang dilihat memberi sokongan buat Fed akan melanjutkan kenaikan kadar faedahnya dan membiarkannya tinggi.
Ini ditambah pula dengan data jualan runcit yang memberangsangkan, di mana ia menunjukkan daya tahan berterusan dalam ekonomi AS walaupun di tengah-tengah kadar faedah yang tinggi.
Ekoran itu, logam berharga emas kekal berada di bawah tekanan ketika tumpuan pasaran kini beralih pula kepada penerbitan data inflasi pengeluar AS pada sesi New York akan datang.