Pasaran telah digegarkan oleh acara tumpuan utama untuk minggu ini iaitu mesyuarat FOMC yang menjadi mesyuarat polisi yang terakhir untuk penutup bagi tahun 2023 ini.
Seperti dijangka pergerakan drastik harga akan berlaku, mata wang US dolar telah menjunam ketara memberi reaksi terhadap keputusan mesyuarat FOMC yang berlangsung pada awal pagi tadi.
Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 5.50% seperti ramalan majoriti pasaran dengan unjuran ekonomi terkini memberi isyarat langkah menaikkan kadar faedah telah berada di penghujung fasanya.
Pengerusi Fed Jerome Powell menjelaskan keputusan untuk mengekalkan kadar faedah dan hala tuju dasar monetari selanjutnya.
Menurut Powell, para penggubal polisi masih menilai sama ada kadar faedah sudah cukup tinggi, namun bukan bermaksud untuk menaikkan lagi kadar.
Malah, penggubal juga sedang berbincang dan membuat pertimbangan sama ada perlukah untuk melakukan pemotongan kadar faedah.
Inflasi dilihat masih tinggi, namun pertumbuhan aktiviti ekonomi semakin perlahan serta kadar faedah tinggi juga turut membebankan pelaburan tetap perniagaan.
Masih lagi belum ditetapkan apakah langkah yang akan diambil oleh bank pusat selepas ini namun Powell mengatakan mereka akan kekal fokus untuk tidak membuat kesilapan membiarkan kadar faedah tinggi terlalu lama.
Penganalisis menilai ucapan bernada ‘dovish’ yang disampaikan Powell sebagai petunjuk kecenderungan Fed yang sedang beransur-ansur menuju ke arah pelonggaran dasar.
Penganalisis juga turut menjangkakan 3 kali pemotongan kadar faedah akan berlaku pada 2024.
Selepas ini, beberapa lagi keputusan mesyuarat bank pusat akan diperhatikan melibatkan Swiss National Bank (SNB), Bank of England (BOE) dan European Central Bank (ECB).
Kesemua bank pusat dijangka akan mengikuti jejak Fed untuk mengekalkan kadar faedah dan ucapan susulan oleh gabenor akan membantu memberi gambaran hala tuju dasar selanjutnya.
Penyusutan ketara US dolar dijangka akan diteruskan lagi hari ini sambil memberi ruang semula kepada mata wang utama yang lain untuk meningkatkan nilai masing-masing.
Untuk perkembangan pasaran komoditi, harga minyak telah dilaporkan sedikit pulih untuk kedua-dua minyak WTI dan Brent, namun kekal berisiko untuk terus alami kejatuhan.
Sementara, kegembiraan buat pelabur emas apabila harga logam kuning itu telah melonjak melepasi paras $2,000 ketika mesyuarat FOMC pagi tadi. Harga didagangkan di sekitar paras $2,038 setakat sesi Asia.