Gamuda Berhad berada di bawah tekanan jualan yang meluas pada hari Isnin susulan laporan negatif mengenai projek Sydney Metro West.
Saham itu menjunam sebanyak 7.6% pada separuh pertama sesi dagangan hari ini, sebelum mengurangkan sedikit kerugian pada sekitar RM4.18, dengan permodalan pasaran bernilai RM11.31 bilion.
Gamuda menjadi saham kedua yang mengalami kerugian terbesar di Bursa Malaysia hari ini selepas Hextar Technologies Solutions Bhd.
Perdana Menteri New South Wales (NSW) Chris Minns pada minggu lalu, tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan atau menangguhkan projek tersebut berikutan kos yang meningkat.
Ujarnya, projek Metro West pada asalnya dianggarkan pada AU$16 bilion, anggaran terkini ia lebih daripada AU$25 bilion.
Sebarang pembatalan atau penangguhan dalam projek ini boleh memberi impak kepada prospek pendapatan syarikat itu.
Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu memperoleh AU$2.16 bilion atau RM6.5 bilion daripada kerja terowong sejauh 9 kilometer antara Westmead dan Sydney Olympic Park melalui kerjasama dengan Laing O’Rourke.