Pasaran kripto bergema dengan sorakan para pelabur semalam ketika menyaksikan harga Bitcoin tiba-tiba mencanak laju ke paras $28,000 semula.
Ini disebabkan oleh laporan berkenaan kemenangan tuntutan mahkamah syarikat kripto Grayscale Investment terhadap Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC).
Ini menjadi kemenangan kedua ke atas SEC dalam tempoh suku ketiga 2023 ini selepas Ripple.
Mahkamah DC memutuskan SEC menolak ETF spot Bitcoin secara tidak wajar dan memerintahkan petisyen untuk semakan dibenarkan.
Situasi ini juga dilihat akan membenarkan Grayscale melancarkan ETF spot Bitcoin yang pertama di Amerika Syarikat (AS) dan membuka peluang pelaburan kepada awam.
Menurut penghakiman, SEC gagal untuk mengenalpasti hubungan kewangan dan matematik yang jelas antara pasaran spot dan futures.
Namun, ini tidak bermaksud kelulusan itu akan berlaku, cuma keputusan tersebut telah mengurangkan halangan untuk kelulusan diperolehi oleh Grayscale dan syarikat-syarikat kripto yang lain juga.
Perkembangan harga kripto, Bitcoin yang telah menjunam menghampiri paras $25,000 pada 18 Ogos lalu kemudiannya mendatar di sekitar $26,000 sehingga ke awal minggu ini.
Namun susulan berita terbaru itu, harga Bitcoin melonjak pantas menembusi $27,000 sehingga mencapai paras $28,000 semula.
Malah, harga kripto-kripto lain juga turut dikemaskini meningkat dengan Ethereum kembali tembusi paras $1,700 manakala XRP pula naik ke paras $0.55 semalam.