Saham Amerika Syarikat turut tumbang selepas Federal Reserve (Fed) memberi isyarat untuk menaikkan lagi kadar faedah dan mengekalkannya tinggi lebih lama pada mesyuarat FOMC September.
Ketiga-tiga indeks saham utama AS jatuh susulan pengumuman itu, dengan Dow Jones Industrial susut 0.22% kepada 34,440.88, manakala S&P 500 turun 0.94% kepada 4,402.2 dan Nasdaq junam 1.53% kepada 13,469.13.
Sementara indeks US30 juga susut pada sekitar paras 34,397 ketika sesi Asia.
Kejatuhan dalam Nasdaq diterajui oleh saham megacap, melihatkan Microsoft susut 2.4%, Apple turun 2% dan Nvidia rugi 2.9%.
Pengumuman Fed itu disertakan dengan unjuran ‘dot plot’ yang menjangkakan akan ada satu lagi kenaikan kadar faedah pada tahun ini kepada 5.50%-5.75%.
Unjuran tersebut juga menunjukkan bahawa kadar faedah akan kekal tinggi pada 2024 dengan jangkaan hanya dua pemotongan kadar sahaja bakal dilaksanakan berbanding empat yang dijangkakan sebelumnya.
Bertindak balas kepada jangkaan itu, hasil perbendaharaan AS 10 tahun melonjak ke paras tertinggi 16 tahun pada paras 4.44%, sekali gus menekan pasaran saham secara menyeluruh.
Menjejaki pasaran Wall Street yang suram, pasaran saham Asia turut suram dengan menyaksikan Nikkei dan indeks Hang Seng dalam wilayah negatif.