Menurut Reuters, harga minyak mentah mengalami penurunan lebih daripada 4% kepada paras terendah sejak hujung Julai lalu.
Situasi ini dilihat berikutan gabungan data ekonomi China, peningkatan eksport OPEC dan kebimbangan terhadap permintaan global terhadap emas hitam itu.
Tambahan, inventori minyak Amerika telah meningkat hampir 12 juta tong minggu lalu. Ini akan mengurangkan permintaan berikutan Amerika adalah sebagai antara negara pengguna terbesar minyak di dunia.
Begitu juga data ekonomi China yang memberi isyarat membimbangkan, turut dikhuatiri akan menjejaskan unjuran permintaan.
Minyak mentah Brent dilihat mengalami penurunan harga sebanyak 4.2% iaitu daripada $84 setong kepada $81.61 setong. Manakala, minyak mentah West Texas Intermediate AS menetapkan harga pada $77.37 USD setong, turun $3.45 (4.3%).
Penganalisis OANDA, Craig Erlam meramalkan para pelabur akan terus berwaspada untuk segala kemungkinan konflik serantau yang berpotensi mengganggu bekalan minyak mentah.
Penganalisis UBS, Giovanni Staunovo pula melaporkan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah meningkatkan tekanan ke atas harga minyak.
Katanya lagi, OPEC telah mengeksport sebanyak satu juta tong sehari sejak paras terendah pada Ogos lalu berikutan permintaan domestik Timur Tengah yang tinggi.