- Minyak mentah susut lebih 5%
- Prospek permintaan menyuramkan
- Bekalan minyak mingguan AS melonjak – API
Harga minyak kembali didagangkan stabil setelah mengalami kejatuhan berterusan selama dua hari berturut-turut pada minggu ini.
Ketika penulisan, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan sedikit meningkat pada $78 setong selepas susut 5.2% pada Rabu.
Sementara itu, dagangan WTI Amerika Syarikat pula diniagakan positif pada $73 setong susulan penyusutan 5.1% yang dicatatkan pada sesi terdahulu.
Kedua-dua penanda aras minyak mentah mengalami kerugian besar dalam dua sesi dagangan pertama tahun ini apabila lonjakan kes Covid di pengimport utama minyak China mengeruhkan prospek permintaan.
Turut memberi tekanan pada harga adalah ramalan menyuramkan terhadap ekonomi global yang terkesan oleh kenaikan kadar faedah dan inflasi.
Dalam pada itu, Institut Petroleum Amerika (API) mendedahkan lonjakan dalam bekalan minyak mentah AS sebanyak 3.3 juta tong pada minggu berakhir 30 Disember.
Bacaan ini meningkat dari catatan dua minggu sebelumnya, yang menyaksikan penurunan 1.3 juta tong dan 3.06 juta pada minggu berakhir 23 Disember dan 16 Disember.