Pasaran saham Amerika Syarikat mencatat prestasi terburuk tahun ini, menyaksikan indeks utama junam mendadak pada sesi New York.
Dow Jones Industrial turun 697.10 mata atau 2.06% untuk ditutup pada 33,129.59. Ini adalah kemerosotan terburuk indeks sejak 15 Disember apabila ia jatuh 2.3%.
Sementara S&P 500 pula susut 2% dengan ditutup 3,997.34, manakala Nasdaq turun 2.4% kepada 12,060.30 pada sesi terdahulu.
Kelemahan ini sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan terhadap peningkatan kadar faedah yang berterusan oleh Federal Reserve (Fed) menjelang terbitan minit mesyuarat FOMC.
Turut menambah kesuraman dagangan saham adalah ramalan buruk daripada peruncit Home Depot dan Walmart.
Home Depot pada hari Selasa memberi amaran mengenai permintaan yang perlahan bagi barangan pembaikan rumah tahun ini kerana inflasi menjejaskan keupayaan pelanggan untuk berbelanja.
Selain itu, Walmart pula mengeluarkan prospek berhati-hati dalam unjuran ekonominya untuk tahun ini berikutan perbelanjaan yang perlahan oleh pengguna akan menekan margin keuntungan.
Kesimpulan, kedua-dua syarikat itu cukup jelas dalam penilaian mereka tentang ekonomi. Mereka menjangkakan inflasi yang tinggi dan kenaikan kadar faedah akan menyebabkan pengguna memperlahankan perbelanjaan mereka.