Pergerakan pasaran di awal minggu kekal suram dengan mata wang US dolar dilihat masih lagi berjaya mengekalkan corak dagangan minggu lalu.
Namun, pelabur menyaksikan pergerakan yang bercampur pada dagangan mata wang utama sementara membuat persiapan untuk menghadapi risiko lebih besar menuju ke penghujung minggu.
Ini disebabkan tumpuan pasaran akan terarah kepada mesyuarat bank-bank pusat utama pada Khamis yang akan menjadi mesyuarat terakhir tahun 2023 ini, selain data-data ekonomi penting juga turut akan diperhatikan.
Selain Federal Reserve (Fed), bank pusat Switzerland (SNB) bersama bank pusat England (BOE) serta bank pusat Eropah (ECB) akan turut memaparkan keputusan kadar faedah masing-masing yang dijangka kesemuanya akan dikekalkan tidak berubah.
Tumpuan lebih penting adalah terhadap petunjuk untuk langkah pemotongan kadar faedah pada tahun 2024 yang akan menjadi pemacu arah pergerakan mata wang utama.
Pada hari ini (Selasa), pelabur terlebih dahulu akan menilai petunjuk awal daripada data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan menjadi pencetus penting dasar monetari Fed.
Data-data pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, serta bacaan sektor pembuatan dan perkhidmatan pada ekonomi tumpuan juga akan mempengaruhi pergerakan pasaran minggu ini.
Mata wang Yen dilihat masih lagi mencuri tumpuan sejak kejutan yang dipaparkan pada minggu lalu dengan pengukuhan ketara nilainya.
Yen pamerkan reaksi positif apabila bank pusat Jepun (BOJ) dilihat mempertimbang pilihan polisi setelah keluar dari dasar longgar yang dikekalkan sekian lama.
Namun, Yen dilihat kembali melemah semula pada pembukaan awal minggu semalam berikuta pegawai BOJ berpandangan pertumbuhan upah masih belum cukup meyakinkan untuk bank pusat keluar dari dasar ultra-longgar mereka sebelum ini.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak kekal didagangkan suram bagi kedua-dua WTI dan Brent, dengan sedikit bertahan dari terus jatuh merudum.
Manakala emas pula papar terjunan harga di awal minggu, menyambung kejatuhan yang dipaparkan pada minggu lepas. Harga emas telah jatuh mencecah sekitar $1,976.