Pasaran saham Amerika Syarikat mempamerkan reaksi positif susulan terbitan data jualan runcit yang lebih kukuh daripada jangkaan pada bulan Januari.
Jualan runcit AS kembali mencatat pertumbuhan lebih kuat pada bulan Januari dengan melonjak 3.0% daripada penurunan 1.1% yang dicatatkan sebelumnya, dan tersasar daripada jangkaan untuk naik hanya 1.9%.
Walaupun bacaan ini bakal mendorong Federal Reserve (Fed) untuk meneruskan kenaikan kadar faedahnya, tapi buat masa ini pelabur saham melihat data tersebut menunjukkan ekonomi AS yang lebih berdaya tahan.
Turut menyokong pandangan tersebut adalah data aktiviti kilang New York yang menunjukkan penguncupan yang lebih perlahan pada bulan lepas.
Impaknya, indeks saham utama AS melantun semula daripada kerugian terdahulu, menyaksikan Dow Jones Industrial ditutup lebih tinggi pada 34,128.06 dengan meningkat 0.11%.
Sementara Nasdaq juga berakhir dengan positif dengan kenaikan 0.77% pada 12,687.89 dan S&P500 menghijau pada 4,147.61 susulan peningkatan 0.28%.
Antara saham yang ketara melonjak pada sesi dagangan New York adalah Airbnb yang melonjak 13% susulan laporan pendapatan suku tahunan yang lebih baik daripada dijangkakan.