Saham Amerika Syarikat berakhir dengan bercampur-campur pada dagangan Khamis, melihatkan indeks S&P 500 dan Nasdaq susut rendah manakala Dow Jones pula lebih tinggi.
Bermula sesi New York, pelabur telah diperlihatkan dengan bacaan data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat yang kembali meningkatkan jangkaan Federal Reserve (Fed) akan meneruskan kenaikan kadarnya.
Namun, apa yang lebih memberi impak ke atas S&P 500 dan Nasdaq adalah kejatuhan Tesla dan Netflix berikutan laporan pendapatan syarikat yang suram.
Saham Tesla mencatat kejatuhan peratusan harian terbesar sejak April selepas ia menjunam 9.74% selepas melaporkan penurunan dalam margin kasar pada suku kedua ke paras terendah empat tahun.
Bukan itu sahaja, malah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Elon Musk turut memberi isyarat untuk terus melaksanakan potongan harga terhadap kenderaan elektriknya.
Sementara Netflix pula mengalami kemerosotan harian terbesar sejak Disember selepas kehilangan 8.41% susulan pendapatan suku tahunan syarikat itu lebih rendah daripada jangkaan.
Walaupun dengan kejatuhan tersebut, indeks Dow Jones ditutup tinggi susulan lonjakan Johnson & Johnson sekitar 6% selepas melaporkan keputusan dan mengumumkan kenaikan ramalan keuntungan tahunan.
Indeks Dow Jones Industrial mengakhir dagangan dengan positif, meningkat 0.47% kepada 35,228.18, manakala S&P 500 pula susut 0.68% kepada 4,543.87 dan Nasdaq pula junam 2.05% kepada 14,0631.31.
Ini merupakan penurunan peratusan harian terbesar bagi Nasdaq sejak 9 Mac, manakala Dow mencatatkan kenaikan sesi kesembilan berturut-turut, peningkatan berturut-turut terpanjang sejak September 2017.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.