US dolar sedikit susut pada sesi Asia namun masih didagangkan tinggi pada sekitar paras tertinggi dua bulannya berbanding mata wang utama.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan pada sekitar harga 103.23.
Usai laporan minit mesyuarat FOMC diterbitkan, pelabur kini memberi tumpuan kepada ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell di Jackson Hole pada minggu depan (Jumaat 25 Ogos).
Sentimen menyuramkan dari China tampaknya terus membelenggu pasaran, menyaksikan dagangan mata wang sensitif risiko kekal terperosok pada paras terendah.
Tidak cukup dengan data yang menyuramkan dan krisis kewangan pengurus aset Zhongzhi, berita terbaru melaporkan pemaju hartanah kedua terbesar China, Evergrande memfailkan perlindungan kebankrapan Chapter 15 di mahkamah New York.
Meneliti pergerakan mata wang, dolar Aussie dan New Zealand sedikit meningkat pada sesi Asia namun masih terperangkap pada sekitar paras terlemah sejak November.
Sementara mata wang euro turut menokok, namun kenaikan yang dicatatkan terbatas menyebabkannya kekal tersekat pada sekitar paras terendah dua bulan berbanding greenback.
Zon Eropah akan mengeluarkan bacaan akhir indeks harga pengguna (CPI) Julai, namun ia dijangka tidak mencetuskan pergerakan ketara dalam euro kerana bukan data berimpak tinggi.
Mata wang pound pula didagangkan stabil pada sekitar harga 1.2750 berbanding greenback. Inflasi UK menyokong kenaikan pound, namun dibataskan oleh US dolar yang lebih kuat.
Selain itu, yen pula dilihat melantun dari paras terendahnya dibantu oleh hasil bon AS 10 tahun yang sedikit merosot dari puncak tertingginya.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.