Niaga hadapan ekuiti Amerika Syarikat sedikit berubah pada pagi Isnin selepas indeks-indeks utama mencatatkan kerugian mingguan terbesar untuk tahun ini pada minggu lalu.
Setakat jam 8.00 pagi, niaga hadapan Dow Jones Industrial, S&P 500 dan Nasdaq masing-masing didagangkan pada julat 0.1%.
Data perbelanjaan peribadi pengguna (PCE), ukuran inflasi Federal Reserve (Fed), yang dikeluarkan minggu lalu membuktikan tekanan harga di AS masih tinggi.
Ini sekali gus menguatkan lagi jangkaan pasaran bahawa Fed akan melanjutkan kenaikan kadar faedahnya lebih tinggi.
Data yang kukuh itu juga meningkatkan penjualan pasaran merentas kebanyakan ekuiti lain, dengan indeks ekuiti dunia MSCI, yang menjejaki saham di 50 negara, susut 1.17%. Saham Eropah pula junam 1.04%.
Pada minggu ini, pemain pasaran akan memantau data pesanan barangan tahan lama, jualan rumah yang belum selesai, keyakinan pengguna CB, PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat.
Ini termasuk ucapan daripada beberapa pembuat dasar Federal Reserve (Fed) iaitu Lorie Logan, Raphael Bostic dan Thomas Barkin yang akan menawarkan pandangan semasa mereka tentang ekonomi dan dasar semasa.
Dari segi pendapatan pula, pelabur akan memberi tumpuan kepada laporan keuntungan daripada beberapa peruncit utama. Target, Costco, Lowe’s dan Macy’s adalah beberapa nama besar yang ditetapkan untuk melaporkan pendapatan minggu ini.