US dolar didagangkan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang utama ketika sentimen pasaran terus dipengaruhi oleh isu siling hutang Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan terbaru, perbincangan antara wakil Presiden Joe Biden dan Republikan pada hari Selasa masih lagi tersekat dengan kedua-dua pihak masih lagi berjauhan.
Dolar Aussie susut lebih jauh ke paras terendah empat minggu, manakala dolar kiwi pula mendatar menandakan kewaspadaan pelabur menjelang keputusan polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada sesi Asia.
US dolar pula berlegar pada sekitar paras tertinggi dua bulan berbanding sekumpulan mata wang utama selepas diperlihatkan dengan bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS yang bercampur-campur pada bulan Mei.
Seperti di Zon Eropah dan UK, sektor pembuatan AS mengalami penguncupan dan perkhidmatan pula berkembang lebih kukuh pada bulan ini.
Pelabur kini mengalihkan perhatian kepada terbitan laporan minit mesyuarat polisi FOMC pada awal pagi nanti (2 pagi waktu Malaysia) untuk mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai penetapan dasar Federal Reserve.
Mata wang euro terus didagangkan suram pada paras terendah mingguan, manakala pound melantun semula dari paras terlemah empat minggu yang disentuhnya pada sesi Eropah (Selasa).
Tumpuan seterusnya buat mata wang pound akan tertumpu pada keluaran data inflasi UK pada sesi Eropah hari ini.
Sementara itu, yen pula kekal kecundang pada paras terendah enam minggu berbanding US dolar namun stabil selepas hasil bon AS 10 tahun berundur sedikit dari puncak tertingginya.