Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menawarkan isyarat positif mengenai isu siling hutang bahawa beliau dan pemimpin kongres akan dapat mencapai persetujuan tidak lama lagi.
Bercakap di White House sebelum berangkat ke sidang kemuncak pemimpin G7 di Jepun, Biden berkata pertemuannya dengan anggota tertinggi Kongres pada Selasa adalah produktif.
Biden menyatakan keyakinannya bahawa mereka akan mendapat persetujuan mengenai bajet yang telah menjadi penghalang kepada pelaksanaan untuk menaikkan siling hutang.
“Amerika tidak akan mengalami ‘default’”, tegas Biden.
Default secara umumnya bermaksud kegagalan untuk melakukan sesuatu. Dalam konteks ini, sekiranya siling hutang tidak dinaikkan sebelum 1 Jun, kerajaan AS tidak dapat membayar perkhidmatan seperti keselamatan sosial, kesihatan dan tentera kerana tiada wang.
Hal ini boleh menyebabkan ‘malapetaka’ ke atas ekonomi AS sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan global.
Sementara itu, Speaker Dewan Republikan Kevin McCarthy pula mengatakan bahawa AS tidak akan mengalami default dan beliau yakin bahawa mereka akan menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh yang semakin singkat ini.
Ketika Presiden Biden berada di Jepun untuk perjumpaan bersama pemimpin G7, perbincangan mengenai isu tersebut akan diteruskan antara wakil White House dan Dewan Republikan.