Khabar angin yang bertiup kencang dari gunung Fuji akhirnya terjawab selepas Bank of Japan (BOJ) mengumumkan keputusan dasar terbarunya.
Mesyuarat yang berlangsung hari ini menyaksikan bank pusat mengumumkan tiada perubahan untuk kawalan keluk hasil (YCC) dan dasar monetarinya.
Dalam satu kenyataan dasar, BOJ mengekalkan had +/-0.5% pada hasil bon kerajaan Jepun 10 tahun (JGB) dan sasaran hasil sekitar 0%, dengan kadar faedah pula kekal negatif pada -0.10%.
Terdahulu, terdapat laporan yang mengatakan para penggubal dasar akan membincangkan mengenai perubahan dasar kawalan keluk hasil pada pertemuan hari ini.
Ini menjawab kepada junaman yen sebaik sahaja keputusan dikeluarkan, di mana ia terjun ke paras 141.00 berbanding USD.
Namun, mata wang itu melonjak semula ke sekitar paras 138.50 (waktu penulisan) setelah pelabur menghadam kenyataan lanjut dari BOJ yang turut menawarkan fleksibiliti dalam julat sasaran JGBnya dan pembelian bon lebih besar.
Bank pusat itu menjanjikan fleksibiliti yang lebih besar dalam julat sasarannya untuk JGB serta bertindak balas dengan pantas terhadap risiko dalam keluk hasil.
Bagi menggalakkan pembentukan keluk hasil yang merupakan garis panduan yang konsisten, ia akan meneruskan pembelian JGB berskala besar dan segera bertindak balas untuk setiap kematangan.
Ia akan meluaskan julat pembelian bon 3-5 tahun, menawarkan untuk membeli sebanyak 750 bilion yen setiap kali, meningkat daripada 725 bilion yen.
Selain itu, ia turut menaikkan ramalan untuk median Inflasi teras pada tahun fiskal 2023 kepada 3.2% daripada 2.5% yang diunjurkan pada April lalu.
Tumpuan seterusnya beralih kepada ucapan Gabenor Kazuo Ueda mengenai keputusan terbarunya hari ini.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.