Terkini, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan pengecualian tol selama dua hari bagi seluruh pengguna lebuh raya bersempena sambutan Krismas.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bahawa pengecualian khas itu akan diberikan kepada semua jenis kenderaan pada 23 Disember (Sabtu) dan 26 Disember (Selasa) di semua tol plaza kecuali di sempadan negara Johor iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang.
Keputusan tersebut telah dibuat selepas mesyuarat jemaah menteri yang berlangsung pada 6 Disember lalu sempena sambutan Krimas tahun ini.
Kementerian itu juga dalam kenyataannya menjelaskan dua tarikh tersebut dipilih bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
Pengecualian tol ini dijangka dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang untuk pulang ke kampung halaman bagi melawat keluarga dan menyambut Krismas pada musim cuti sekolah. Ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk membantu meringankan beban rakyat merentasi pelbagai agama, etnik dan kepercayaan.
Mereka juga mengharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan merancang perjalanan mereka dengan bijak dan mematuhi nasihat penjadualan perjalanan yang disyorkan.
Semalam, Ahmad Maslan berkata secara purata kerajaan memperuntukkan RM21 juta setiap hari kepada syarikat konsesi lebuh raya sebagai inisiatif bebas tol dan membantu rakyat.
Tahun ini, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Hari Raya Aidilfitri, RM41.21 juta untuk cuti Tahun Baru Cina bagi melaksanakan tol percuma.