Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap berdegil dengan pendiriannya untuk meneruskan operasi di Gaza sehingga Hamas berjaya dikalahkan. Tindakannya itu telah meningkatkan ketegangan di serantau Timur Tengah dan membuatkan masyarakat dunia semakin marah.
Keadaan itu turut memberi kesan dan implikasi yang ketara kepada perdagangan minyak mentah global. Terutama sekali situasi perang yang menjejaskan laluan perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden.
Syarikat perkapalan Denmark, Maersk tetap bersedia untuk meneruskan semula operasi perkapalan mereka di kawasan Laut Merah dibawah sokongan Operation Prosperity Guardian yang diketuai Amerika Syarikat. Tindakan itu dibuat selepas cadangan untuk mengubah laluan kerana kebimbangan keselamatan.
Isu semakin bertambah rumit apabila Iran menafikan tuduhan berhubung serangan dron ke atas kapal tangki Chem Pluto milik Amerika Syarikat. Kenyataan oleh Kerajaan Iran berkenaan penglibatan helikopter dan peluru berpandu jarak jauh meningkatkan lagi kebimbangan keselamatan di kawasan maritim.
Secara tidak langsung, ini akan memberi kesan kepada laluan perdagangan minyak mentah global.
Selain itu, jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (The Fed) pada tahun hadapan telah menunjukkan kesan pada data AS di mana kadar inflasi berada pada bawah sasaran mereka iaitu 2%. Kadar faedah yang lebih rendah berpotensi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan permintaan minyak.
Namun, para pelabur diminta untuk lebih berhati-hati kerana penganalisis menjangkakan The Fed akan berpendirian ‘hawkish’ bagi mengawal trend inflasi.
Diteliti secara ringkas keseluruhannya, keadaan pasaran minyak mentah kini masih berada pada situasi yang membimbangkan akibat penurunan harga yang ketara.