Dengan berlalunya kebimbangan terhadap wabak Covid-19, industri pembuatan sarung tangan getah terus menderita akibat kehilangan permintaan.
Kossan Rubber Industries Bhd adalah salah satu antaranya yang menyaksikan penyusutan mendadak dalam keuntungannya pada tahun lepas.
Keuntungan bersih Kossan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, susut 94.5% kepada RM156.62 juta daripada RM2.86 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Hasil juga merosot 65.1% kepada RM2.32 bilion daripada RM6.63 bilion sebelumnya disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada bahagian sarung tangan dan bilik bersih.
Walaupun begitu, pendapatan bahagian produk getah teknikal mencatat peningkatan 16% daripada RM169.89 juta kepada RM197.01 juta.
Sementara pada suku keempat pula, Kossan mencatatkan kerugian bersih RM2.49 juta berbanding keuntungan bersih RM218.67 juta pada suku sama terdahulu.
Hasil suku keempat pula merosot 47.9% kepada RM481.45 juta daripada RM924.56 juta sebelumnya ekoran penurunan hasil daripada semua bahagian.
Mengulas mengenai kelemahan ini, syarikat pembuat sarung tangan getah itu mengatakan industri tersebut terus terkesan oleh lebihan bekalan.
Pada waktu penulisan, saham Kossan didagangkan susut 1.7% kepada RM1.11 menjelang penutup dagangan Bursa hari Jumaat.